Unsur kreatif diperlukan dalam proses berfikir untuk menyelesaikan masalah. Semakin kreatif seseorang, semakin banyak alternatif penyelesaiannya.
Berfikir merupakan instrumen paling penting. Dengan berfikir, kita dapat lebih mudah mengatasi berbagai masalah dalam hidup. Berfikir secara kreatif merupakan salah satu cara yang dianjurkan. Dengan cara itu seseorang akan mampu melihat persoalan dari banyak perspektif. seorang pemikir kreatif akan menghasilkan lebih banyak alternatif untuk memecahkan suatu masalah.
Sememangnya menjadi idaman ibu bapa untuk mendapat anak-anak yang kreatif. Adakah sekadar berdoa semata-mata tanpa usaha tertentu yang bersungguh-sungguh dapat menghasilkan anak-anak yang kreatif? ada orang berkata bahawa seseorang dengan rambut yang berketak lebih kreatif berbanding seseorang yang rambutnya lurus, namun sekiranya tidak dibangunkan dan dilatih sikap kreatif ini di dalam diri seseorang, sifat ini akan terpendam.
Dalam pertemuan kali ini saya akan membincangkan sedikit petua untuk mendidik anak untuk menjadi kreatif.
Antara petua kaedah didikan untuk menghasilkan anak yang kreatif ialah:
1. Latih diri si ibu dan ayah ketika mengandung dengan nilai kreatif termasuk banyak melakukan Problem Based Learning. Latihkan sifat berdikari. Latihkan sifat rajin.
2. Latihkan diri ayah dan ibu untuk mengamalkan segala perintah Allah dan menjauhi larangan Allah. Elakkan membawa balik ke rumah rezeki yang tidak halal seperti duit rasuah, duit komisyen, duit dari sumber yang tidak halal dsbnya.
3. Bermula pada usia anak 2 tahun dan keatas, latih sifat rajin, mengurus masa, tanggung jawab dengan melatih mereka membasuh pinggan, mengemas cadar, menyapu sampah, membuang sampah serta kerja-kerja rumah lainnya. Jika perlu, belikan kerusi plastik untuk anak berdiri dan mampu membasuh pinggan di sinki.
4. Pada usia 2 – 3 tahun, anak perlu sekali dilatih untuk mengikut solat setiap kali ibu bapa solat. Bacakan bacaan solat kuat sedikit agar anak-anak ini mempelajarinya dengan mendengar.
5. Pada usia 5 atau 6 tahun, anak kecil ini sepatutnya sudah mampu membasuh pinggan, mengemas bilik, melipat selimut, menyapu sampah, menyidai baju (guna kerusi plastik) melipat baju, membantu ibu memasak di dapur, menguruskan adik, mengemas rumah, membasuh kasut sendiri dan kerja-kerja rumah lainnya.
6. Latihkan anak pada usia 3 tahun dengan problem based learning. Sebagai contoh, jikalau memberikan anak gula-gula, jangan buka pembalut gula-gula ini dan biarkan anak ini menyelesaikan dengan cara mereka sendiri asalkan matlamat dicapai.
7. Berikan anak-anak tanggung jawab untuk diuruskan seperti anak nombor 1 melakukan tugas ini, anak nombor 2 melakukan tugas itu dan seterusnya. Mencuci kereta mungkin boleh disuruh kepada anak yang lebih besar dengan dibantu anak yang lebih kecil.
8. Apabila anak semakin berusia 7 tahun dan ke atas (7 – 10 tahun), berikan tanggung jawab yang lebih mencabar seperti menukar lampu elektrik dan sebagainya. Tugas memasang wayar elektrik ke palam 3 pin mungkin sudah boleh diajarkan kepada anak-anak. Tanggungjawab memasak nasi sudah sewajarnya dilakukan oleh kanak-kanak berusia 7 tahun ke atas. Anak-anak pada usia ini perlu dikerah sentiasa membantu ibu memasak di dapur mungkin untuk membantu mengacau kuah atau membantu menumis. Apabila anak sudah membantu ibu memasak di dapur, sediakan madu lebah asli sebagai persediaan apabila anak terkena minyak atau kuali panas. Anak lelaki atau perempuan tidak boleh dikecualikan. Membersihkan ikan dan udang perlu dimulakan pada usia ini atau lebih awal lagi.
9. Permainan Lego baik juga untuk mengembangkan minda. Namun menghasilkan sesuatu adalah pengalaman yang jauh lebih bermakna dari menyusun Lego. Latihlah mereka membuat satu projek seperti membuat layang-layang sehingga berjaya menerbangkannya. Jangan gagal ditengah jalan. Kegagalan ditengah jalan mendidik satu nilai yang negatif di dalam diri anak-anak ini. Bapa atau ibu perlu bersedia untuk mengatasi dan membantu menyelesaikan masalah yang berkaitan apabila layang-layang ini gagal berfungsi dengan baik. Jika perlu, bapa perlu belajar terlebih dahulu sebelum memulakan projek ini. Apabila berjaya, mantapkan pengalaman ini dengan menggalakkan mereka membuatnya lagi di masa akan datang.
10. Latihkan pertukangan bagi anak lelaki pada usia menjelang 10 tahun. Latihan yang baik ialah membuat pistol mainan dari kayu. Gunakan getah dan kertas sebagai pelurunya. Latih anak untuk membunuh cicak di rumah menggunakan pistol atau senapang buatan sendiri ini. Ayah mungkin perlu menyediakan stok kayu serta alatan pertukangan lain untuk mengembangkan latihan bertukang bagi anak-anak ini. Projek mudah untuk membuat pagar tanaman di laman boleh dijadikan projek awal. Projek membuat basikal roda 4 dengan menggunakan kayu dan roda terbuang mungkin boleh diusahakan.
11. Bagi perempuan pada usia yang sama ini, berikan tanggungjawab memasak yang lebih mencabar. Membersihkan ikan, udang, sotong, ayam dan daging sudah sepatutnya dikuasai pada usia ini.
12. Dalam setiap proses mendidik ini, apabila perlu menggunakan rotan, gunakanlah dengan baik dan konsisten.
13. Menjelang usia sekitar 12 tahun, tugas memasak sudah sepatutnya dikuasai oleh anak-anak. Membuat kuih mudah seperti cekodok pisang sepatutnya juga sudah dikuasai. Ia sepatutnya dikuasai oleh sama ada anak lelaki atau perempuan. Anak-anak perlu digalakkan melakukan sesuatu yang lebih mencabar seperti membuat kuih yang mudah seperti kuih kaswi, kuih lapis, roti dan biskut yang mudah. Membuat setiap projek sehingga berjaya dari A hingga Z adalah satu pengalaman melatih kreativiti serta pengurusan yang sangat baik.
14. Projek-projek mengembangkan minda seperti membuat sendiri lampu suluh adalah amat baik sekali. Sekiranya bapa dapat mendidik anak ilmu soldering lagi baik.
15. Teruskan didikan begini sehingga usia 15 tahun. Insya Allah selepas usia ini anak ini akan terus mantap dengan didikan yang telah diusahakan.
16. Menghabiskan masa yang lama menonton TV tidak mengembangkan jiwa kreatif malahan mengembangkan sifat negatif terutama sekali apabila anak-anak gemar menonton cerita kartun. Bermain komputer game juga tidak banyak membantu mengembangkan sikap kreatif.
17. Latih anak menyudahkan setiap perkara yang dilakukan dan bukan dengan memberhentikan ditengah jalan. Kalau pinggan yang perlu dibasuh banyak latih mereka menyudahkan kerja dan bukan menyuruh berhenti ditengah-tengah kerana kasihan.
18. Elakkan memanjakan anak, Apa yang cuba diperturunkan dalam mendidik anak sebagaimana dinyatakan di atas ialah dengan melatih mereka menguruskan masa dan mencapai matlamat secara berterusan, inilah sebenarnya latihan yang baik bagi mendidik mereka menjadi kreatif. Mereka akan melakukan sesuatu ubahsuaian dari semasa ke semasa bagi mencapai matlamat dengan kaedah yang terbaik. Inilah ciri seorang yang kreatif.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan